Pada aku cinta itu indah. Tiada siapa dapat menafikannya. Cinta dari Ilahi, cinta ayah kepada anak, cinta ibu berkorban kasih, cinta suami kepada isteri dan cinta sesama ahli keluarga. Namun, terkadang cinta itu buta, membutakan mata yang celik dan mencelikkan mata yang buta. Terpulang kepada sang pencinta untuk memilihnya hingga sering lupa antara hak dan batil. Semua itu cinta sang pencinta kepada kekasihnya. Pada aku, aku tak pernah jemu terhadap cinta kerana aku tahu, aku dilahirkan atas dasar cinta, membesar dengan rasa cinta dan hidup dalam kecintaan. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana pendapatannya bersama enam adik-beradik yang lain. Aku mempunyai empat orang kakak, tiga darinya sudah berkahwin dan seorang abang. Walaupun kami sering berbeza pendapat, namun kami tetap satu, satu keluarga.
Aku merupakan seorang mahasiswa luar kampus di salah sebuah institut pengajian tinggi awam di Selangor. Aku tinggal bersama tiga lagi kawanku yang lain di sebuah unit pangsapuri. Kami tinggal berasingan dan aku mempunyai bilikku yang tersendiri. Unit rumah kami di tingkat sembilan dan pangsapuri ini mempunyai dua lif kargo yang sederhana besar untuk kegunaan harian 3 blok pangsa yang bersambung antara satu dengan yang lain. Aku masih lagi membujang seperti biasa. Aku bekerja sambilan di salah sebuah pasaraya untuk mengisi kekosongan jadual hidupku. Namun begitu, ia masih tidak dapat menampung kesunyian hatiku.
Pengalamanku berhadapan dengan pelbagai ragam manusia membuatkan aku kurang untuk bercampur dengan orang lain. Aku lebih cenderung untuk memilih sahabat siber. Sekurang-kurangnya aku dapat berkongsi cerita suka dan duka bersama tanpa perlu rasa curiga. Di sini, aku mengenali seorang insan yang agak jujur bagiku. Dia tinggal di Cheras dan aku jarang berkomunikasi dengannya. Aku suka melihat gambarnya, hanya minat, tidak lebih dari itu.
Hari berganti hari, kami semakin rapat walau terkadang dia tidak membalas mesej-mesejku. Mungkin sibuk agaknya. Namun begitu, perasaan itu semakin lama semakin menebal dan bertukar kepada suka. Dia adalah seorang yang penyayang, kerap mengambil berat terhadap diriku sesuai dengan umurnya. Tapi aku tidak mudah untuk jatuh hati terhadap insan yang belum pernah aku temui. Itu prinsipku kerana pengalaman telah cukup mengajarku segalanya. Sehingglah pada satu hari, dia membalas mesejku.
“Hai buat apa?”
“Tengah drive ni on the way balik ke Terengganu. Ayah sakit.”
“Ye ke? Sakit apa? Awak drive elok-elok ya. Jaga diri. Lama ke awak balik Terengganu?”
“Seminggu. Kenapa?”
“Tak de apa. Nanti awak bawa balik keropok lekor ya. Haha.” Saja aku ingin menyakatnya. Kemudian lama dia mendiamkan diri.
“Next week bolehlah kita jumpa.”
“Awak sayang saya?” Aku terdiam. Mungkin, tapi aku tak relakannya.
“Mana boleh cakap, kita tak jumpa lagi.”
********************************************
Aku baru pulang dari makan malam, entah kenapa, pada malam itu hatiku tergerak untuk meletakkan motorku di kaki lima rumahku menggunakan lif kargo tersebut. Aku jarang melakukannya walaupun kawalan keselamatan di pangsapuri ini adalah amat rendah. Aku lebih senang menguncinya dengan kunci pendua. Seketika kemudian, aku mendapat satu panggilan dari kakakku yang masih lagi membujang. Dia sering berbeza pendapat denganku. Malas untuk aku menjawabnya tapi aku cuba melayaninya dengan baik.
“Hello.”
“Hello dik, angah ada telefon tak?” Suaranya cemas.
“Tak ada. Kenapa?”
“Ayah accident dengan Kak Dila and Meesha sekali.” Kami terdiam. Tersedu aku mendengar suaranya yang separuh sebak.
“Ayah teruk tak?”
“Tak tahu. Angah call tadi. Dia kata ayah accident dengan Dila and Meesha sekali.”
“Ya Allah…”
“Nanti akak sampai rumah adik dalam pukul sembilan kita balik Johor,” sambungnya lagi.
“Ok, adik packing.” Setelah siap aku menyiapkan beg pakaian, aku terus menunggu kakakku di basement parking. Aku mesej dia, “Awak, saya balik Johor ni. My dad, sis and niece accident.”
“Ok. Jaga diri,” balasnya. Sejurus kemudian, seperti yang dijanjikan, kakakku tiba tepat pada jam sembilan.
“Nak pergi hospital ke?”
“Balik rumahlah. Sekarang bukan masa melawat.” Aku hanya menuruti.