Showing posts with label Cinta Sang Pencinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta Sang Pencinta. Show all posts

Cinta Sang Pencinta IV


Aku baru pulang dari melawat mereka di hospital. Tiada kata yang dapat aku lafazkan. Sedih aku melihat situasi mereka. Muka dan tangan anak saudaraku berjahit. Jelas dia masih lagi trauma dan menghabiskan masa dengan tidur di katil wad di sisi ibu tercinta. Bapaku pula cuba sedarkan diri dan melayan karenah pelawat-pelawat yang tak pernah henti. Dadanya ditebuk dan dimasukkan tiub untuk suntikan ubat pelali. Sisi kiri abdomennya ditebuk untuk mengeluarkan darah yang terperangkap di luar paru-paru. Ibuku sentiasa setia di sisinya. Dia memang seorang ibu yang sangat tabah, berbeza dengan sikapnya ketika muda dahulu.
Aku terus baring ke katil kakakku. Jelas bilik ini masih lagi kelihatan seperti bilik pengantin. Aku mengeluarkan telefon bimbitku untuk berbalas mesej dengannya.
“Awak dah lupakan saya?”
“Mana boleh lupa bf yang saya sayang.” Aku terdiam.
“Alah tipu. Awak, kita belum lagi berjumpa. Saya tak nak hubungan ini kekal untuk sebulan dua sahaja. Saya mahu ia kekal buat selamanya.”
“Betul. Saya selalu ingat kat awak.” Aku malas untuk melayan perasaanku. Tapi aku memang perlukan seseorang lebih-lebih lagi tatkala aku dalam situasi ini. Aku tertidur keletihan.
Hari ini masuk hari ketiga aku menjaga bapaku. Aku bertukar-tukar masa menjaga dengan ibu. Keluarga along baru sahaja sampai semalam. Bapaku masih lagi ditempatkan di wad ortopedik lelaki. Tak banyak yang doktor boleh membantunya, hanya untuk mengeluarkan darah yang tersekat di luar paru-paru sahaja. Masanya banyak dihabiskan dalam lenanya. Dos morfin disuntik setiap enam jam. Sakit aku melihatnya. Hariku ditabahkan dengan mesej-mesej darinya. Aku kerap menghubunginya kerana aku kesunyian dan tiada tempat mengadu.
“Hello, awak buat apa?”
“Hai. Kat kedai kawan ni. Jap eh.” Aku menunggu. “Ok, ada apa?”
“Saje je call. Ayah I tengah tidur. Kakak tak keluar ICU lagi. My niece tak sedar lagi kat wad kanak-kanak.”
“Oh, jaga diri. Kuatkan semangat.”
“Awak tak nak datang sini?”
“Awak datang la sini, Kuala Terengganu,” sambungnya.
“Betul?”
“Terpulanglah.”
“Ok. Awak jangan main-mainkan perasaan saya k.”
“Tak. Awaklah satu-satunya dalam hati saya. Mana ada yang lain. Kan awak yang cakap kita bercinta bukan untuk sebulan dua.” Sejuk hati aku mendengarnya.
“Mak, Mirul nak balik esok. Kak Dila pun dah stabil sedikit. Kesian store tak ada orang. Lagi dua tiga hari adik baliklah semula. Adik balik KL dengan Akak Aida,” helahku sedangkan aku sedang bercuti tanpa gaji.
“Adik nak balik?” Tanya Kak Aida. Aku hanya mengangguk. Esok aku akan pulang ke Kuala Lumpur bersamanya. Abang pun balik ke Shah Alam untuk bekerja.
“Sini sekejap dik,” panggil along.
“Janganlah balik, kesian kat mak, ayah. Kalau ni kali terakhir adik tengok Kak Dila, ayah macam mana?” Hatiku tetap berdegil untuk berjumpanya. Tak tahulah mengapa. Mungkin aku ingin mengadu segalanya sepuas hatiku kepadanya. Maklumlah, kakak yang paling rapat dan tahu akan diriku sedang separa koma. Sukar untuk aku menerimanya. Akhirnya, aku bersetuju untuk tinggal dan menjaga mereka.

*****************************************

“Adik, Dila. Kakak ni. Kak Aida. Tabahkan hati, kuatkan semangat, adik mesti hidup. Akak nak balik Kuala Lumpur ni dengan Ajim. Akak dah cuti 3 hari dah. Kene kerja. Nanti weekend akak datang lagi ya.” Aku dengar, aku cuba menolak-nolak saluran pernafasan yang mencucuk kerongkongku dengan lidah. Tekak aku sudah penuh dengan kahak. Aku ingin bercakap dengannya. Jururawat datang untuk membetulkan saluran tersebut. Aku kemam mulutku agar dia tak dapat memasukkan saluran tersebut.
“Bukak la dik,” pinta kakakku. Aku buka. Jururawat tersebut terus memasukkan saluran tersebut dan aku muntah kahak. Kakak aku terdiam, tergamam dan menangis. Siksa. Perit. Setelah semua kekotoran dibersihkan, aku tertidur semula.
“Maafkan akak ya dik, akak tak sengaja.” Aku terjaga dan hanya mendengar lesu dan terus terlena.
“Adila, along ni. Kuatkan semangat ya dik.” Aku cuba membuka mata.
“Along dan keluarga doakan yang terbaik untuk Dila. Meesha dan Ayah selamat, jangan risau. Semua ada kat sini, along abang long, azrul, angah, Amee jaga Meesha, mak jaga ayah. Adik pun ada. Aida and Ajim nak balik Kuala Lumpur esok. Dila jangan takut k.. Semua ada kat sini. Semua temankan Dila.” Along ajak bercerita, cuba menemani aku.
“Ok lah nanti kita jumpa lagi,” sambungnya lagi. Along dah nak pergi? Temankanlah Dila. Airmata aku mengalir dan aku terus khayal.
“Nak, kuatkan semangat.” Suara mak… Mak… Dila minta maaf mak…
“Ingat Allah. Mak selalu mendoakan yang terbaik untuk engkau nak.” Mak diam kemudian aku dengar mak menangis walaupun dia cuba menahannya. Aku mahu hidup. Berilah aku pelunag Ya Allah… Aku nak bercakap. Kenapa semua orang tak tolong aku? Tolonglah… Aku kena kuat semangat! Tolong… Aku leka dan terlena kembali.
“Sayang, abang ni. Abang selalu ada kat sini. Jaga sayang. Jangan ingat yang bukan-bukan. Abang dah maafkan segala dosa sayang.” Suamiku! Aku cuba buka mata. Aku cuba senyum. Fikiran aku kusut. Aku cuba bangun, perutku sakit akibat pembedahan.
“Dah sayang, rehat. Doktor suruh rehat. Nanti cepat baik.”
“Abang,” aku cuba bersuara. Dia dengar!
“Peluk Dila.” Dia terus naik ke katil dan memelukku. Aku mahu menangis seadanya.
“Abang sayang awak. Awak kena kuatkan semangat ya. Jangan nangis, tabahkan hati. Nanti awak cepat keluar dari sini.”
“Nurse, nanti kalau saya mati nurse kahwin la dengan suami saya. Dia baik orangnya.”
“Ish, awak hiduplah,” balas jururawat tersebut.
“Abang temankan Dila ya.” Suamiku cuba menahan sebak melihatku separa sedar. Aku tidur kembali dalam pelukannya.
“Ha, kenal tak tu siapa?” Tanya jururawat. Aku gelengkan kepala cuba untuk bergurau dengan adik bongsuku.
“Akak, adik ni.” Aku cuba mengitai-ngitai pengesan nadi yang disepit di ibu jari kakiku. Minta adikku mencabutkannya.
“Dila, mana boleh cabut,” sampuk jururawat itu lagi.
“Akak kuatkan semangat tau. Adik ada je kat sini. Tak jadi balik KL. Ok lah adik nak keluar jap.” Aku mengangguk.


~ to be continued

Cinta Sang Pencinta II

“Ayah, jom makan roti canai kat kedai mamak tu, laparlah,” ajak kakakku.

Ayah hanya bersetuju. Sedetik kemudan, dia bersedia untuk menyeberangi jalan yang bertali arus dengan kenderaan itu. Ini merupakan kali pertama ayah memandu kereta gear automatik. Mungkin belum mahir lagi dengan pecutan dan kawalan minyak. Kawasan tersebut merupakan taman perumahan yang baru terletak di selekoh tidak jauh dari tempat kerjanya. Jalan yang telah dilebarkan menjadi dua lorong menyukarkan lagi proses untuk menyeberanginya. Jalan agak kosong dan kereta yang sedang bergerak itu agak perlahan. Namun begitu, sebenarnya terdapat sebuah lagi kereta merah yang sedang memecut laju. Cuma ia terlindung di sebalik kereta tersebut memandangkan jalanraya ini di kawasan berselekoh.


*************************************************

You jaga diri ya, abang pergi tak lama. Friendly match ni habis abang baliklah.”

“Ok, sayang abang.” Berat hati seorang suami untuk meinggalkan isterinya yang tercinta. Maklumlah, baru sembilan bulan berumah tangga. Walaupun banyak cabaran dan rintangan yang melanda, dia tetap anggap yang semua itu adalah ketentuanNya. Banyak yang telah dia berubah sejak dia dipindahkan ke tempat kerja yang sama dengannya. Kemudian, dia perhatikan gerak-geri isterinya dari jauh meninggalkan dirinya di jendela bas. Keadaan seperti biasa, riuh-rendah. Berjumpa kawan-kawan sekerja memang menyeronokkan. Masing-masing suka menyakat orang lain.

“Hati-hati ya. Ada accident kat selekoh tu. Baru saja berlanggar,” kata pengawal keselamatan kepada pemandu bas.

“Ah, mungkin bukan isteriku,” detik sang suami.

“Hatta, ada call untuk kau.”


**********************************************

“Streeeeeettt… Dummm…” Satu dentuman yang maha kuat kedengaran di seluruh pelusok kampung. Terdapat sebuah kereta Proton Wira automatik sedan dan Honda Ferio yang berlanggar di jalan utama. Tempat duduk belakang kereta Wira tersebut menjadi satu tempat duduk akibat remuk dilanggar. Tempat duduk sisi pemandu ternaik di atas brek tangan. Pemandu tersepit di tempat duduk pemandu. Manakala penumpangnya pula tercampak keluar bersama anak kecil yang tercengang di atas jalanraya.

“Dila!!!” Jerit ayah.

“Dila!!! Dila!!! Dila!!!” Jeritnya bila anaknya hanya mendiamkan diri.

“Uhuk, uhuk. Sakit yah… Sakit…” Lega sedikit hati ayah mendapati anaknya masih hidup. Kelihatan cucunya hanya terduduk tercengang di suatu ruang tidak jauh dari makciknya. Hanya luka-luka ringan di muka dan tangan. Orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Kejadian jadi hingar-bingar. Lalu lintas mulai perlahan.


*******************************************

“Sakitlah bodoh!!” Jerit seorang isteri yang menderita kesakitan kerana tercampak keluar ketika keceleakaan jalanraya. Perutnya dibungkus seketatnya bagi mengelak pertumpahan darah yang banyak.

“Nak, mengucap nak!!!” Sapa sang bapa menahan kesedihan memerhati anaknya yang menggelupur kesakitan.

“Sakit ayah…,” raihnya meminta simpati. Anak saudara hanya diam. Bingung dengan apa yang terjadi di satu sudut ambulans. Dua ambulans dikerjarkan ke wad kecemasan Hospital Besar Batu Pahat. Setibanya di sana, doktor mengesahkan yang si anak perlu di masukkan ke Unit Rawatan Rapi. Pembedahan perlu dilakukan bagi mengeluarkan organ dalaman yang hancur. Limpanya pecah, sebahagian hati juga pecah dan diafragma membengkak. Bapa mengalami pendarahan di luar paru-paru dan colar bone patah manakala si cucu dimasukkan ke wad kanak-kanak atas kecederaan luar yang ringan.

Cinta Sang Pencinta III

I don’t know how this can happened,” jelas bapa, seorang pesara guru Bahasa Inggeris yang dikenali ramai. Dia seperti sedar dan tidak apa yang dikatakannya. Mataku terpejam. Aku nampak anak saudaraku, Meesha memerhatikan aku. Aku nampak aku disorong ke Unit Rawatan Rapi. Aku dengar apa yang berlaku. Aku nampak dia. Besar dosa aku pada suami aku. Aku rasa aku dibogelkan. Sejuk bilik ini. Aku dengar bunyi mesin pernafasan. Dijolok tekakku seadanya dengan alat bantuan pernafasan. Ibu jariku disepit. Aku dengar keadaan huru-hara di dalam bilik sejuk ini. Pergelangan tanganku dicucuk-cucuk. Sakit. Siapa kata tak sakit? Dadaku ditampal-tampal. Kedengaran bunyi mesin pengesan nadi. Aku masih hidup. Aku ingin lari dari semua ini!!!!!!!! Lepaskan aku!!!!!! Lepaskan aku!!!!!!! Beri aku peluang untuk hidup!!!!!!!! Tolong lepaskan aku!!!!!!!!!!! Aku mahu hidup!!!!!!!!Aku mahu kandungkan anak suami aku!!!!!!! Lepaskan aku!!!!!!!! Lepaskan aku… lepaskan aku… apa yang kau cuba buat?? Lepaskan aku… lepaskan aku… le..pas… le… Aku nampak wajah suami aku di suatu sudut. Aku cuba memanggilnya tapi kabur, semakin kabur dan terus kabur.

Aku buka mata. Aku bingung. Dia nampaknya masih menungguku di luar pejabatku. Setia dirinya menantiku. Setiap detik dan ketika, sering menghubungiku, menemankan aku untuk makan malam dan menghantarku pulang. Bukan dia tak tahu aku sudah berkahwin. Mungkin perasaanku juga sedang menyayanginya. Entahlah. Mana kasih suamiku yang seperti dulu? Mungkin dia terlalu sibuk dengan dirinya. Entah-entah seperti dulu lagi menduakan aku. Aku sudah bosan! Biarlah dia mengisi kekosongan yang melanda diri aku. Perit, aku tahu perit. Apatah lagi mencintai orang yang sudah tawar dan seolah tak menghargai diri aku. Bila ada yang mengganti, aku tahu itu salah, memang salah. Tapi salahkah aku mencintai? Salahkah aku? Aku ingin rasa diri aku doihargai. Fahamilah aku. Aku tersepit. Perkahwinan ini pun hanyalah satu tanggungjawab sahaja. Semuanya telah terlanjur. Terlanjur begitu jauh. Biar… biarlah aku seorang sahaja yang merasakannya. Letaklah seberat mana dosaku, aku sanggup menggalasnya. Aku akui, aku mula menyayanginya.

“Adila, Adila… Adila?” Apa semua ini? Lepakan aku. Cabut semuanya.

“Doktor! Doktor! Tolong!!”

“Awak tambahkan dos morfin lagi. Pesakit ni agresif. Mungkin dia mahu berjuang untuk terus hidup.”

Aku buka mata lagi. Aku nampak ayahku. Dulu aku amat sayangkannya. Tak tahulah mengapa semakin aku dewasa semakin menebal benciku terhadapnya. Tapi dia tetap ayahku. Akku nampak ibu. Dia sering memukulku, sering mendenda aku. Aku semakin sayang kepadanya. Aku nampak along, suaminya dan Azrul, anak angkatnya. Angah dan Kak Amee. Dia mengandung. Mana Meesha?

“Doktor!”

“Dah tinggi dos ni.”

“Awak ikat kaki dan tangan dia. Tambah dos lagi.”

“Sial,” detik hatiku. Aku sedang mengendung Meesha. Dia selalu bermain dengan aku, Ateh. Ya, dia selalu memanggilku Ateh. Datang Aida dengan baju dan kasut untuk Meesha, walaupun dia keras, tapi hatinya tetap lembut. Hazim! Dia datang dengan teman wanitanya, Ili. Adik! Kenapa lambat? Datang sorang je ke? Seketika kemudian kedengaran sayup-sayup suara orang membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ni apa ni ada orang mengaji ni?

“Dila?” Aku meracau. Aku nampak suamiku sedang membacakan aku ayat-ayat al-Quran. Aku tak mati lagi!!!! Buka semua ini! Aku tak tahan!!! Cabut saluran pernafasan ni aku tercekik!!! Tolong lepaskan aku!!! Tolong!!! Aku sedih suara aku sedikit pun tak terkeluar. Tak siapa yang faham perasaan aku sekarang ini. Aku lihat suamiku, dia sedang menitikkan airmata melihat aku meronta-ronta.

Nurse!” Panggilnya. Jururawat datang dan aku terpejam lagi.

Cinta Sang Pencinta I

Pada aku cinta itu indah. Tiada siapa dapat menafikannya. Cinta dari Ilahi, cinta ayah kepada anak, cinta ibu berkorban kasih, cinta suami kepada isteri dan cinta sesama ahli keluarga. Namun, terkadang cinta itu buta, membutakan mata yang celik dan mencelikkan mata yang buta. Terpulang kepada sang pencinta untuk memilihnya hingga sering lupa antara hak dan batil. Semua itu cinta sang pencinta kepada kekasihnya. Pada aku, aku tak pernah jemu terhadap cinta kerana aku tahu, aku dilahirkan atas dasar cinta, membesar dengan rasa cinta dan hidup dalam kecintaan. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana pendapatannya bersama enam adik-beradik yang lain. Aku mempunyai empat orang kakak, tiga darinya sudah berkahwin dan seorang abang. Walaupun kami sering berbeza pendapat, namun kami tetap satu, satu keluarga.

Aku merupakan seorang mahasiswa luar kampus di salah sebuah institut pengajian tinggi awam di Selangor. Aku tinggal bersama tiga lagi kawanku yang lain di sebuah unit pangsapuri. Kami tinggal berasingan dan aku mempunyai bilikku yang tersendiri. Unit rumah kami di tingkat sembilan dan pangsapuri ini mempunyai dua lif kargo yang sederhana besar untuk kegunaan harian 3 blok pangsa yang bersambung antara satu dengan yang lain. Aku masih lagi membujang seperti biasa. Aku bekerja sambilan di salah sebuah pasaraya untuk mengisi kekosongan jadual hidupku. Namun begitu, ia masih tidak dapat menampung kesunyian hatiku.

Pengalamanku berhadapan dengan pelbagai ragam manusia membuatkan aku kurang untuk bercampur dengan orang lain. Aku lebih cenderung untuk memilih sahabat siber. Sekurang-kurangnya aku dapat berkongsi cerita suka dan duka bersama tanpa perlu rasa curiga. Di sini, aku mengenali seorang insan yang agak jujur bagiku. Dia tinggal di Cheras dan aku jarang berkomunikasi dengannya. Aku suka melihat gambarnya, hanya minat, tidak lebih dari itu.

Hari berganti hari, kami semakin rapat walau terkadang dia tidak membalas mesej-mesejku. Mungkin sibuk agaknya. Namun begitu, perasaan itu semakin lama semakin menebal dan bertukar kepada suka. Dia adalah seorang yang penyayang, kerap mengambil berat terhadap diriku sesuai dengan umurnya. Tapi aku tidak mudah untuk jatuh hati terhadap insan yang belum pernah aku temui. Itu prinsipku kerana pengalaman telah cukup mengajarku segalanya. Sehingglah pada satu hari, dia membalas mesejku.

“Hai buat apa?”

“Tengah drive ni on the way balik ke Terengganu. Ayah sakit.”

“Ye ke? Sakit apa? Awak drive elok-elok ya. Jaga diri. Lama ke awak balik Terengganu?”

“Seminggu. Kenapa?”

“Tak de apa. Nanti awak bawa balik keropok lekor ya. Haha.” Saja aku ingin menyakatnya. Kemudian lama dia mendiamkan diri.

Next week bolehlah kita jumpa.”

“Awak sayang saya?” Aku terdiam. Mungkin, tapi aku tak relakannya.

“Mana boleh cakap, kita tak jumpa lagi.”


********************************************

Aku baru pulang dari makan malam, entah kenapa, pada malam itu hatiku tergerak untuk meletakkan motorku di kaki lima rumahku menggunakan lif kargo tersebut. Aku jarang melakukannya walaupun kawalan keselamatan di pangsapuri ini adalah amat rendah. Aku lebih senang menguncinya dengan kunci pendua. Seketika kemudian, aku mendapat satu panggilan dari kakakku yang masih lagi membujang. Dia sering berbeza pendapat denganku. Malas untuk aku menjawabnya tapi aku cuba melayaninya dengan baik.

“Hello.”

“Hello dik, angah ada telefon tak?” Suaranya cemas.

“Tak ada. Kenapa?”

“Ayah accident dengan Kak Dila and Meesha sekali.” Kami terdiam. Tersedu aku mendengar suaranya yang separuh sebak.

“Ayah teruk tak?”

“Tak tahu. Angah call tadi. Dia kata ayah accident dengan Dila and Meesha sekali.”

“Ya Allah…”

“Nanti akak sampai rumah adik dalam pukul sembilan kita balik Johor,” sambungnya lagi.

“Ok, adik packing.” Setelah siap aku menyiapkan beg pakaian, aku terus menunggu kakakku di basement parking. Aku mesej dia, “Awak, saya balik Johor ni. My dad, sis and niece accident.

“Ok. Jaga diri,” balasnya. Sejurus kemudian, seperti yang dijanjikan, kakakku tiba tepat pada jam sembilan.

“Nak pergi hospital ke?”

“Balik rumahlah. Sekarang bukan masa melawat.” Aku hanya menuruti.